Friday 14 September 2012

Makna Kalimah Tauhid

Posted by ITTILA' On 06:47 No comments




-  Makna Kalimah Tauhid

Kalimah tauhid bermakna mengEsakan Allah Subhanahuwata’ala. Dari sudut penghayatan dalam kehidupan, ia membawa erti mengenal, berikrar, mengakui, mempercayai dan meyakini bahawa sesungguhnya sembahan yang benar dan berhak disembah ialah hanya sanya Allah Subhanahuwata’ala semata-mata.

Selain daripada-Nya, sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Penghayatan kalimah ini meliputi berikrar dengan hati, menyatakan dengan lidah dan membuktikan dengan amalan.

Tauhid ar-Rububiyyah

Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beri’tiqad bahawa Allah Subhanahuwata’ala bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekelian alam.

Pengertian lanjut Tauhid ar-Rububiyyah

Antara pengertian kalimah Rabb ( ربّ ) ialah Tuan, Pemilik, Pencipta, Penguasa, Pendidik, Pengasuh, Penjaga dan Penguatkuasa Yang Mutlak.

Allah bersifat mutlak

Manusia, jika dia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifatnya itu sementara. Segala sesuatu di alam ini kepunyaan Allah Subhanahuwata’ala. Apa yang dimiliki makhluk hanyalah bersifat pinjaman dan majaz (kiasan). Hanya Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rabb al-’Alamin (Rabb sekelian alam) dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya, mendapat kehidupan daripada-Nya dan berharap kepada-Nya.

Manusia, jika dia cerdik, bijak dan pandai, maka semuanya itu datang daripada Allah Subhanahuwata’ala. Segala kekayaan dan penguasaan manusia bukanlah miliknya yang mutlak tetapi segala-salanya itu datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk, gerak nafas dan sebagainya datang daripada Allah Subhanahuwata’ala.

Allah Subhanahuwata’ala, Dialah Maha Berkuasa, Mencipta, Menghidup dan Mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, tiada siapa yang mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah Subhanahuwata’ala mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya.

Oleh itu hanya Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang berkuasa untuk memberikan manfaat atau mudarat.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”( Surah Al-An’am: 17)

Dengan mengenali Allah Subhanahuwata’ala sepertimana yang dijelaskan di atas, maka timbullah kesan tauhid kepada hati seseorang. Dia hanya takut kepada Allah Subhanahuwata’ala, dan berani untuk bertindak melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Manusia fakir

Manusia di dunia ini bersifat fakir (tidak memiliki apa-apa), sebaliknya sentiasa memerlukan pertolongan Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahuwata’ala di dalam sebuah hadith Al-Qudsi:

Hai manusia, kamu semua berada di dalam kesesatan kecuali mereka yang Aku berikan taufiq dan hidayah kepadanya. Oleh itu mintalah hidayah daripada-Ku.

Hai manusia, kamu semua lapar, kecuali mereka yang aku berikan makan, oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku.

Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripada-Ku.

Sifat fakir dan sifat kaya

Berhajatkan sesuatu adalah sifat semua makhluk. Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan makhluk lain berhajatkan kepada Allah Subhanahuwata’ala. Oleh itu semua makhluk bersifat fakir.

Allah Subhanahuwata’ala Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sesuatu. Jika manusia memiliki keyakinan ini maka dia akan sentiasa berbaik sangka terhadap Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

Hai manusia, kamulah (hamba-hamba) yang fakir yang berkehendakkan kepada Allah, dan Allah, Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.( Surah Fathir: 15)

Fakir adalah sifat yang zati bagi setiap makhluk ciptaan Allah. Kaya adalah sifat yang zati bagi al-Khaliq (Pencipta).

Manusia juga lemah

Manusia juga sangat lemah di hadapan Allah Subhanahuwata’ala. Sehubungan dengan ini Allah Subhanahuwata’ala berfirman:

“…dan manusia dijadikan bersifat lemah”
(Surah An-Nisa’: 28)

Dalil-Dalil Tauhid ar-Rububiyyah

Banyak dalil menunjukkan bahawa Allah itu Maha Esa dan tiada sesuatu yang menyamai Allah dari sudut Rububiyyah. Antaranya:

- Lihatlah pada tulisan di papan hitam, sudah pasti ada yang menulisnya. Orang yang berakal waras akan mengatakan bahawa setiap sesuatu pasti ada pembuatnya.
 
- Semua benda di alam ini, daripada sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, menyaksikan bahawa Allah itu adalah Rabb al-’Alamin. Dia berhak ke atas semua kejadian di alam ini. 

- Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata, dia akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Orang yang berakal waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah Subhanahuwata’ala. Tidak ada orang yang berakal waras akan menyatakan bahawa sesuatu itu boleh berlaku dengan sendirinya. 

- Begitu hebatnya Ilmu Allah. Pandanglah saja kepada kejadian manusia dan fikirkanlah betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.Terdapat seribu satu macam ciptaan Allah yang memiliki sifat yang berbeza-beza antara satu sama lain. Semuanya menunjukkan bahawa Allah adalah Rabb yang Maha Bijaksana . 

Fitrah manusia mengakui Rububiyyah Allah

Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala adalah suatu perkara yang dapat diterima. Hakikat ini sering terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun seseorang itu kafir, namun jauh di lubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah. Maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan daripada menyembah Allah?”( Surah Az-Zukhruf: 87)

“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.”(Surah Az-Zukhruf: 9)

Tidaklah susah untuk membuktikan Rububiyyah Allah Subhanahuwata’ala. Fitrah setiap insan itu sendiri adalah buktinya. Manusia yang mensyirik dan mengkufurkan Allah juga mengakui ketuhanan Allah Yang Maha Pencipta pada detik-detik tertentu.

Al-Quran mengakui adanya Tauhid ar-Rububiyyah di dalam jiwa manusia

Al-Quran mengingatkan bahawa fitrah atau jiwa manusia memang telah memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-’Alamin.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Berkata rasul-rasul mereka: Apakah ada keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi ? Dia menyeru kamu untuk memberi ampunan kepadamu dari dosa-dosamu dan menangguhkan (siksaan) mu sampai masa yang ditentukan?(Surah Ibrahim: 10)

Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya, maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.(Surah An-Naml: 14)

Keengganan dan keingkaran sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah Subhanahuwata’ala sebagai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil dan keras hati. Hakikatnya, fitrah manusia tidak boleh kosong daripada memiliki perasaan (yang di dalam sudut hatinya) yang mengakui kewujudan al-Khaliq.

Jika fitrah manusia bersih daripada sombong, degil, keras hati dan selaput-selaput dosa yang menutupinya, maka secara spontan manusia akan terus menuju kepada Allah Subhanahuwata’ala tanpa bersusah payah untuk melakukan sebarang pilihan. Secara langsung lidahnya akan menyebut Allah Subhanahuwata’ala dan meminta pertolongan daripada-Nya.

Telatah manusia, apabila berada di saat-saat genting, tidak akan terfikir dan terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah sahaja. Ketika itu segenap perasaan dan fikirannya dipusatkan kepada Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Benarlah Firman Allah Subhanahuwata’ala:

Dan apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada di jalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat Kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar(Surah Luqman: 32)

Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah Subhanahuwata’ala adalah mudah, jelas, terang dan nyata. Kewujudan Allah Subhanahuwata’ala terbukti dengan dalil yang amat banyak dan pelbagai.

Maksud Tauhid al-Uluhiyyah 

Maksud Tauhid al-Uluhiyyah ialah kita mentauhidkan Allah dalam peribadatan atau persembahan. Tujuan asas Allah Subhanahuwata’ala mengutuskan para rasul ialah menyeru kepada hakikat Tauhid al-Uluhiyyah.

Firman-firman Allah Subhanahuwata’ala ini membuktikan hal tersebut:

“Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tiada ilah melainkan Aku, maka kamu sekelian hendaklah menyembah Aku.”(Surah Al-Anbiya’: 25)

“Dan sesungguhnya Kami telah utuskan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut. Maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di muka bumi ini dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)”(Surah An-Nahl: 36)

“Dan sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (nabi) kepada kaumnya, lalu dia berkata (menyeru): Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah, (kerana) sesekali tiada ilah melainkan Dia. Maka mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?”(Surah Al-Mu’minun: 23)

“Dan (Kami telah mengutuskan) kepada kaum ‘Ad saudara mereka Hud (nabi): Hai kaumku sembahlah Allah, sesekali tiada ilah bagi kamu selain dari-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya”(Surah Al ‘Araf: 65)

Maksud ilah dalam ayat-ayat di atas ialah sesuatu yang disembah, dita’ati dan diperhambakan diri. Ilah yang sebenarnya ialah Allah Subhanahuwata’ala. Pengertian ilah seperti inilah yang seharusnya difahami dari syahadah:

لا إلٰه إلا الله
Pada hakikatnya Islam (sebagai satu sistem hidup yang sempurna) adalah merupakan manhaj ’ubudiyyah atau tatacara untuk manusia menyembah, menta’ati dan memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam semua aspek kehidupan.

Cetusan rasa cinta kepada Allah Subhanahuwata’ala

Menyembah atau beribadah kepada Allah Subhanahuwata’ala dapat dilaksanakan apabila tercetus rasa cinta yang suci kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rela (ikhlas) menundukkan diri serendah-rendahnya kepada-Nya. Seseorang hamba itu disifatkan sedang menyembah Allah Subhanahuwata’ala apabila dia menyerahkan seluruh jiwa raga kepada-Nya, bertawakkal kepada-Nya, berpegang teguh kepada ajaran-ajaran-Nya, berpaut kepada ketentuan-Nya, meminta (mengharap) serta memulang (menyerah) sesuatu hanya kepada-Nya, mengingati-Nya, melaksanakan segala syariat-Nya dan memelihara segala perlakuan (akhlak, perkataan dan sebagainya) menurut cara-cara yang diredhai-Nya.

‘Ubudiyyah yang semakin bertambah

Pengertian ‘ubudiyyah (pengabdian) kepada Allah Subhanahuwata’ala akan bertambah sebati dan hebat kesannya dalam kehidupan manusia apabila semakin mendalam pengertian dan keinsafannya tentang hakikat bahawa manusia itu terlalu fakir di hadapan Allah Subhanahuwata’ala. Manusia sentiasa bergantung dan berhajat kepada-Nya. Manusia tidak boleh terlupus daripada kekuasaan dan pertolongan-Nya walaupun sekelip mata.

Begitu juga dengan cinta atau kasih (hubb) manusia kepada Allah Subhanahuwata’ala dan rasa rendah diri (khudu’) manusia kepada-Nya akan bertambah teguh apabila semakin mantap ma’rifat dan kefahamannya terhadap sifat-sifat Allah, Asma’ Allah al-Husna (sifat-sifat Allah yang terpuji), kesempurnaan Allah Subhanahuwata’ala dan kehebatan nikmat kurniaan-Nya.

Semakin mantap manusia ber’ubudiyyah terhadap Allah, maka semakin bebaslah dia daripada belenggu ‘ubudiyyah kepada selain daripada-Nya. Seterusnya dia akan menjadi seorang hamba yang benar-benar tulus dan ikhlas mengabdikan diri kepada-Nya.

Allah telah menggambarkan di dalam al-Qur’an keadaan para rasul-Nya yang mulia dengan sifat-sifat ‘ubudiyyah di peringkat yang tinggi. Allah telah melukiskan rasa ‘ubudiyyah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pada malam sewaktu wahyu diturunkan, ketika baginda berda’wah dan semasa baginda mengalami peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan.”
(Surah An-Najm: 10)

“Dan ketika berdiri hamba-Nya (Muhammad) untuk menyembah-Nya (beribadat), hampir saja jin-jin itu mendesak-desak mengerumuninya.”
( Surah Al-Jin: 19)

“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al-Masjidil Haram ke al-Masjidil Aqsha yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ”( Surah al Isra’ : 1 )

Perkataan hamba (’abd) dalam ayat-ayat di atas adalah mewakili Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam. Perkataan hamba (’abd) sebagai gantinama kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah menggambarkan sifat perhambaan dan ’ubudiyyah baginda yang sangat tinggi kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Tauhid al-Rububiyyah menghubungkan Tauhid al-Uluhiyyah

Tauhid al-Rububiyyah ialah mengakui keesaan Allah Subhanahuwata’ala sebagai Rabb, Tuan, Penguasa, Pencipta dan Pengurnia secara mutlak. Tidak ada sekutu bagi-Nya di dalam Rububiyyah.

Sesungguhnya kesanggupan dan kesediaan manusia mentauhidkan Allah Subhanahuwata’ala dari segi Rububiyyah dengan segala pengertiannya akan menghubung atau menyebabkan manusia mengakui Tauhid al-Uluhiyyah iaitu mengesakan-Nya dalam pengabdian. Secara spontan pula manusia akan mengakui bahawa Allah Subhanahuwata’ala sahaja yang layak disembah, selain daripada-Nya tidak layak disembah walau dalam apa keadaan sekali pun.

Al-Quran terlebih dahulu memperingatkan orang-orang musyrikin Quraisy agar mengakui Tauhid al-Rububiyyah. Apabila mereka menerima Tauhid al-Rububiyyah dan bersungguh-sungguh mengakuinya, maka terbinalah hakikat Tauhid al-Uluhiyyah pada diri mereka. Hakikat ini jelas sepertimana firman-firman Allah Subhanahuwata’ala:

“Apakah mereka mempersekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu apapun? Sedangkan berhala-berhala tersebut adalah buatan manusia.”(Surah Al-A’raf: 191)

“Apakah (Allah) yang menciptakan segala sesuatu itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapakah kamu tidak mengambil pengajaran?. ”(Surah An-Nahl: 17)

“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu serukan selain daripada Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiada mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemah pula yang disembah.”(Surah Al-Hajj: 73)

Ayat-ayat tersebut mengingatkan orang-orang musyrikin mengenai suatu hakikat yang nyata iaitu sembahan-sembahan mereka adalah lemah, malah tidak berkuasa untuk mencipta sesuatu walaupun seekor lalat. Jika lalat itu mengambil atau merampas sesuatu dari mereka, maka mereka tidak berkuasa untuk mendapatkannya kembali. Ini menunjukkan betapa lemah yang meminta dan lemah pula yang dipinta. Oleh itu akal yang sejahtera tidak boleh menerima penyembahan selain daripada Allah Subhanahuwata’ala. Dalam peribadatan mereka tidak boleh mempersekutukan sesuatu dengan Allah. Allah adalah al-Khaliq Yang Esa. Selain daripada-Nya adalah lemah dan dhaif belaka.

Tuhan-tuhan palsu yang tidak memiliki apa-apa

Al-Quran menghujah dan mengingatkan orang-orang musyrikin bahawa apa yang mereka sembah selain daripada Allah Subhanahuwata’ala tidak memiliki sebutir atom pun sama ada di bumi mahupun di langit. Malah sembahan mereka sama sekali tidak menyamai Allah Subhanahuwata’ala walaupun sebesar zarah sama ada di bumi mahupun di langit.

Allah tidak mempunyai apa-apa keperluan dengan tuhan-tuhan palsu yang mereka sembah. Jika mereka menyedari hakikat ini, mereka akan merasai kewajipan untuk beribadat dengan ikhlas kepada Allah semata-mata.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

“Katakanlah: Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di bumi, dan mereka tidak memiliki satu saham pun dalam penciptaan langit dan bumi, dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya.”(Surah Saba’: 22)


Al-Quran mengakui bahawa orang-orang musyrikin mengiktiraf sebahagian daripada Rububiyyah Allah seperti Allah Subhanahuwata’ala itu Pemilik langit serta bumi dan Allah itu Pengurus kejadian-kejadian di langit serta di bumi. Jika begitulah pengiktirafan mereka, sepatutnya mereka beriman dan menyembah Allah tanpa mempersekutukan-Nya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

“Katakanlah (kepada mereka): Kepunyaan siapakah bumi ini, dan semua yang ada padanya jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak ingat?

Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang mempunyai langit yang tujuh dan yang empunya ‘arasy yang besar? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak bertaqwa?

Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang di tangan-Nya berada segala kekuasaan sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi daripada (azab)-Nya, jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): (Oleh yang demikian) dari jalan manakah kamu ditipu ?

Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka dan sesungguhnya mereka sebenarnya orang-orang yang berdusta.”(Surah Al-Mu’minun: 84-90)

Sains dan aqidah tauhid

Penemuan-penemuan dalam bidang sains dan teknologi mengenai alam buana, atom, manusia, tumbuh-tumbuhan dan pelbagai bidang industri telah berjaya menyingkap keindahan dan ketelitian ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Penemuan-penemuan dan rekaan-rekaan baru itu menguatkan lagi ajaran aqidah tauhid dan meneguhkan lagi keimanan orang-orang mu’min. Hasil-hasil kajian itu menunjukkan kebesaran dan keluasan kudrat serta ilmu Allah Subhanahuwata’ala. Sesungguhnya di sebalik kehalusan ciptaan dan keindahan sistem sejagat ini pasti ada Penciptanya Yang Maha Basar dan Maha Berkuasa.

Kedudukan tauhid dalam Islam

Keseluruhan ajaran Islam berasaskan tauhid. Kandungan al-Quran berlegar di atas tauhid. Kandungan ayat-ayat al-Quran meliputi pengkhabaran tentang Allah Subhanahuwata’ala, sifat-sifat-Nya, kejadian-Nya, perbuatan-Nya, pentadbiran-Nya dan sistem.Nya.

Al-Qur’an membincangkan tentang al-amr (perintah) dan anbiya’ Allah (nabi-nabi Allah) kerana kedua-duanya ada kaitan dengan penciptaan dan kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala terhadap makhluk-Nya.

Al-Qur’an menerangkan segala bentuk balasan baik (pahala) untuk mereka yang mentaati Allah, Rasul dan syariat-Nya. Semua ini untuk mengajak mereka menegakkan Tauhid al-Uluhiyyah dan Tauhid al-Rububiyyah.

Al-Qur’an menerangkan segala bentuk balasan siksa (dosa) untuk mereka yang tidak mematuhi syariat-Nya, menceritakan tentang keadaan orang-orang zaman dahulu yang telah menderhakai-Nya. Semua ini untuk menjelaskan bahawa manusia perlu kembali kepada dasar tauhid dan ibadah kepada-Nya.

Oleh itu tauhid adalah intipati atau asas Islam. Daripada tauhid terpancar segala sistem, perintah, hukum dan peraturan. Semua ibadat dan hukum dalam Islam bertujuan untuk menambah, memahir, menguat dan mengukuhkan lagi tauhid di dalam hati orang-orang mu’min.

Dengan tauhid seluruh dorongan manusia akan terbentuk

Dengan tauhid yang kuat, maka akan terbentukkan pelbagai dorongan yang ada dalam jiwa manusia. Dia akan takut hanya kepada Allah Subhanahuwata’ala dan berani mempertahankan keyakinannya seperti yang dipersaksikan dalam sirah Rasulullah dan para sahabat:

1. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam pernah memerintahkan Ali Radhiallahu’anhu agar tidur di atas katilnya sebelum baginda keluar berhijrah ke Madinah, sedangkan musuh Islam begitu giat mengintip baginda. Namun Sayyidina Ali sanggup berbuat mengikut perintah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam kerana beliau yakin atas Kehendak dan Kekuasaan Allah.

2. Khalid Ibn al-Walid Radhiallahu’anhu pernah mengalami banyak calar dan luka pada badannya kerana berperang di jalan Allah Subhanahuwata’ala. Namun dia tetap yakin dengan Kekuasaan Allah Subhanahuwata’ala. Dia tetap meneruskan pertempuran melawan musuh.

3. Bilal bin Rabah Radhiallahu’anhu sanggup diheret di padang pasir, dijemur di bawah kepanasan matahari dan diseksa dengan batu besar diletakkan di atas tubuhnya. Dia tetap mempertahankan keimanannya.

Kini, ramai orang Islam kehilangan hakikat tauhid yang sebenarnya. Mereka masih yakin kepada yang lain daripada Allah Subhanahuwata’ala atau keyakinan mereka bercampur aduk. Mereka takut kepada kegagalan, ketua, kematian dan sebagainya, di sambing takut kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

0 comments:

Post a Comment